
HULU KELANG, 2 Sept - Polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' jika ada laporan dibuat mengenainya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang.
"Kita tidak boleh hina Jalur Gemilang dan mengatakan ia satu malapetaka. Kita tidak harus mempertikaikan perkara ini," katanya kepada wartawan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri setiausaha kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Kewangan, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau menegaskan, soal mempertikai bendera kebangsaan harus dielakkan sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara.
Katanya, tindakan sedemikian tidak sewajarnya berlaku apatah lagi menggantikan Jalur Gemilang dengan bendera lain.
"Kita harus terima hakikat bahawa dalam soal bendera, pengisytihrannya telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu," katanya.
Mengenai dakwaan penglibatan sesetengah pemimpin parti politik dalam kegiatan kongsi gelap, beliau berkata kerajaan tidak berkompromi mengenai perkara itu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.
Beliau mengulas tindakan beberapa penyokong pembangkang yang bertindak mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' di Dataran Merdera pada malam 30 Ogos lalu.
Hishammuddin Rais yang mengetuai perhimpunan itu berkata, rakyat Malaysia telah ditipu dengan semangat mengibarkan Jalur Gemilang yang realitinya diciplak dari Amerika Syarikat.
Last Updated on Monday, 02 September 2013 08:56
No comments:
Post a Comment